LUKLA 21 Mei - Enam daripada tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut (dpl) pagi ini.
Pendaki terawal, Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang tiba di puncak pada pukul 8.31 pagi waktu Nepal, diikuti Mohamad Asyraf Mohd. Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor, 8.48 pagi); Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang, 9.11 pagi); Zainudin Lot, 37, (jurulatih, 10.16 pagi); Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang) dan Muhammad Illaham Ishak, 37, (jurulatih), masing-masing 11 pagi.
Seorang pendaki lain, Siti Hanisah Sharuddin, 23, (Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan) terpaksa berpatah balik setelah tiba di ketinggian 8,748 meter (South Summit) kerana masalah kesihatan.
Kesemua pendaki berkenaan merupakan peserta projek Everest-Felda 2013 kelolaan KE7B yang dipimpin bekas pendaki Everest 2004, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. Dalam pendakian ini, dua rekod baharu dicipta apabila Mohd. Nasuha muncul sebagai pendaki termuda dan Myrza Fasha (pendaki wanita termuda) dalam sejarah mendaki Gunung Everest negara sejak tahun 1997.
Pada 1997, M. Magendran dan N. Mohandas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest. Rekod pendaki negara termuda sebelum ini dipegang oleh Muhamad Muqharabbin yang berusia 22 tahun ketika menakluk puncak Everest pada 2004.
Myrza Fasha memecahkan rekod dipegang oleh Marina Ahmad yang menjejakkan kaki ke puncak Everest ketika berusia 26 tahun pada 2007. Setiap kali pihak media dan pendaki sokongan menerima laporan tentang kejayaan para pendaki di Kem Induk Everest (EBC), beberapa sherpa bertugas akan mengetuk periuk bagi meraikan kejayaan para pendaki. Ini merupakan tradisi yang diamalkan oleh kumpulan sherpa setiap kali mendapat berita gembira kejayaan pendaki.
Mohd. Nasuha berkata: Alhamdulillah dengan izin Allah, saya kini berada di puncak Gunung Everest. Terima kasih semua," katanya ringkas dari puncak Gunung Everest melalui walkie-talkie kepada wakil media dan pendaki sokongan di EBC hari ini.
Menurutnya, beliau merupakan pendaki terawal tiba di puncak bersama Pemba yang merupakan seorang sherpa yang mengiringinya dalam pendakian tersebut. Mohamad Asyraf pula menjadi pendaki kedua tiba di puncak pada pukul 8.48 pagi. Asyraf kini berada bersama saya di puncak. Keadaan cuaca amat baik dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Matahari tidak terlalu terik," kata Mohd. Nasuha.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, beliau bersyukur kerana kesemua pendaki berjaya mencapai misi yang ditetapkan dalam projek Everest-Felda 2013. Menurutnya, walaupun pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa diharungi sepanjang menjalani latihan sejak tujuh bulan lalu, namun matlamat projek dapat disempurnakan.
Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa mereka untuk melihat anak-anak Felda ini berjaya melakar sejarah di puncak Gunung Everest. Kejayaan ini juga adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia," katanya melalui telefon di sini.
Pendakian fasa terakhir ke puncak menyaksikan kesemua pendaki meninggalkan Kem 4 di ketinggian 7,900 meter dpl pada pukul 8.15 malam semalam (20 Mei). Setelah berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest, semua pendaki kini dalam perjalanan turun semula ke Kem 4 untuk bermalam sebelum turun ke Kem 2 pada 22 Mei untuk bermalam dan akhir sekali ke EBC di ketinggian 5,363 meter dpl pada 23 Mei.
Pada 2 April lalu, kumpulan pendaki anak-anak muda Felda itu bersama 13 pendaki sokongan berlepas ke Kathmandu, Nepal untuk menjalani latihan di Banjaran Himalaya termasuk Gunung Lobuche Timur dan Island Peak dalam misi menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Ekspedisi yang dikenali Demi Negara Everest Felda 2013 itu mendapat sokongan dan tajaan daripada Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan Majlis Belia Felda Malaysia. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130522/dn_02/Enam-anak-Felda-takluk-Everest#ixzz2TyajQpG2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan